Apa ertinya angka 350 ini? Adakah ia bermaksud 350 pound, iaitu berat badan aku? Oh, itu Sesutu yang mustahil bagi aku. Mustahil berat badan aku adalah 158.76 kg. Itu bukan realiti aku. Itu realiti bagi seseorang yang obesiti. (Dalam hati, aku bersimpati.)

Ini baru realiti aku. 350 itu adalah nilai biasiswa aku untuk sebulan. Ya, hanya RM350 sahaja. Kau rasa banyak atau sikit?
Mari bandingkan realiti seharian aku dengan wang sebanyak itu.
Dalam sebulan, ada lebih kurang 30 hari. Cuba kau bahagikan 350 dengan 30 hari. Berapa yang kau dapat? Cuba kau kira. Oh, aku ada kalkulator, dan hasilnya adalah RM11.67, wang yang aku ada untuk dijimatkan dalam sehari.
Ini pula purata perbelanjaan harian (belanja makan sahaja) yang normal untuk seorang pelajar universiti yang normal.
Sarapan pagi: RM2
Makan tengah hari: RM5
Makan malam: RM5
Jumlahnya adalah RM12, satu nilai yang melebihi bajet aku untuk sehari. Nampaknya, aku tak boleh berbelanja secara normal, dan terpaksa mengubah menu harian aku. Minum sahaja air kosong setiap kali makan. Selain berjimat, boleh juga kau katakan aku minum air kosong untuk tujuan kesihatan. Aku lebih suka minum air suam sebenarnya. Nak lebih dari sekadar air kosong? Nah, bacalah tips-tips yang bijak ini.
Aku juga jarang makan sayur sebenarnya. Sayur itu pahit, kan? Tak manis seperti buah. Oh, semoga badan aku sentiasa cukup vitamin dan nutrien. Ini maknanya, aku dapat berjimat dengan mengambil nasi dan lauk-pauk sahaja.
Untuk lebih jimat lagi, macam-macamlah yang terpaksa aku hadkan. Aku kena berjimat. RM350 itu sahajalah sumber pendapatanku. Aku tak minta dari mak ayah aku. Aku takkan susahkan mereka yang dah sedia susah itu.
Jimat itu menyakitkan. Itulah realitinya. Realiti memang tak pernah simpati. Bila kau berjimat, banyak perkara yang kau terpaksa hadkan. Kau tak dapat bermewah-mewahan, berjoli sakan di hari minggu, dan yang paling sakit, kau tak dapat membeli yang macam-macam untuk si dia. Aduh.
Tapi, itu hanya sebahagian dari masalah kewangan kita. Jangan lari dari masalah, kerana itu bukan penyelesaiannya. Kata Rich Dad kepada Robert Kiyosaki:
“Money problem make you smarter…….if you solve the problem.”
Itulah yang aku cuba. Masalah kewangan hanyalah sebahagian dari permainan realiti kita.
Jika hari ini, masalah aku adalah tak cukup duit. Tapi, masalah aku yang akan datang adalah, AKU ADA TERLALU BANYAK DUIT. Mana satu masalah yang kau suka? Tepuk dada, tanya poket kau.
Dan aku sentiasa berharap, agar nilai biasiswa aku ini akan naik, dan harga-harga barang akan turun. Kalaupun tidak naik semasa tahun aku, biarlah junior-junior aku yang dapat menikmatinya.
Alangkah indahnya, kalau biasiswa kita nilainya RM 500, ataupun lebih. Budak-budak JAD sekalian pasti gembira. Buat masa ini, kita bersyukurlah dengan apa yang ada. Jangan lupa untuk berjimat-cermat.
“Realiti kita nyata berbeza.”
